KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan konsep Malaysia Madani perlu diterjemahkan secara lebih spesifik sebagai satu acuan besar nasional mengikut konteks tempatan.
Beliau berkata, gagasan membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di Sabah, termasuklah dalam lanskap serta ekosistem tempatan negeri ini.
“Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri menyeluruh dan inklusif namun kita perlu sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.
“Oleh itu, penting proses “localisation” atau menterjemah gagasan besar kebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik.
“Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian-pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya ketika merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.
Hajiji berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.
“Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani. Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.
“Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada lanskap dan ekosistem negeri Sabah. Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kedua-dua gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berkongsi aspirasi serta impian yang sama iaitu ingin melihat sebuah negara atau negeri yang berjaya dan maju dengan acuan kemanusiaan yang murni. – Info X