Search
Search
Close this search box.

Malaysia perlukan media benar-benar bebas, berani – Fahmi

May 28, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tapi juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah.

Katanya, media sedemikian diperlukan bukan semata-mata untuk mewujudkan semak dan imbang, malah ia juga bertujuan memastikan bahawa suara semua pihak dapat didengar dengan jelas dan diberi perhatian.

“Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporters Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia tahun-tahun sebelum ini, dan ia tidak seharusnya dipandang enteng, kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Jadi saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, rakan-rakan media dapat duduk berbincang, mencambah buah fikiran, yang bukan sahaja akan dapat meluaskan pandangan kita, tapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hawana 2023 di Ipoh, Perak, hari ini.

Forum dengan tema “Masa Depan Media” anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Fahmi berkata, selaras dengan pertumbuhan pesat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) termasuk dalam industri media, pengamal media digesa membantu kerajaan memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu dikaji.

“Hari ini beberapa cabaran yang kita hadapi kini termasuk pertumbuhan pesat penggunaan AI, dan kita telah lihat bagaimana banyak negara sedang bergelut dengan persoalan mengenai AI ini, sama ada dalam media mahupun di peringkat kerajaan.

“Namun bagi banyak pihak, banyak negara, persoalan ini tidak ditangani, jadi saya harap rakan-rakan media yang berada di sini hari ini juga akan membantu dalam memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu kita kaji, sama-sama memikirkan dan menerima pakai, dalam memastikan etika semasa AI ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan,” katanya.

Fahmi juga menggesa media tradisional untuk berinovasi dan berubah, seperti menggunakan teknologi baru dan menerima platform dalam talian susulan perubahan besar dalam landskap media yang menyebabkan pihak media tidak mempunyai pilihan selain daripada mengikuti trend semasa.

“Adalah penting bagi mereka untuk mempunyai kandungan yang menarik dan penceritaan yang hebat lebih menonjol berbanding yang lain.

“Peranan media sosial yang besar dalam kehidupan orang ramai telah menimbulkan satu lagi kebimbangan, yakni penyebaran berita palsu dan maklumat salah,” katanya. – Info X