KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Beaufort dan Kota Kinabalu meningkat kepada 510 orang daripada 164 keluarga setakat jam 4 petang pada Ahad.
Daripada jumlah itu seramai 328 mangsa daripada 118 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon di Beaufort berikutan banjir di daerah itu sejak tiga hari lalu.
Sementara itu, seramai 182 mangsa daripada 46 keluarga dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Al-Munir Kampung Darau berikutan banjir sejak petang Sabtu.
Pagi tadi jumlah mangsa dipindahkan di kedua-dua daerah ialah seramai 495 orang daripada 159 keluarga
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kebanyakan mangsa dipindahkan dari lapan kampung terjejas akibat banjir di Beaufort dan satu di Kota Kinabalu.

Bandaraya Kota Kinabalu disytihar dilanda bencana banjir bermula jam 9 malam tadi berikutan kejadian banjir di beberapa kawasan akibat hujan lebat berterusan, semalam.
Pengisytiharan bencana itu dikeluarkan Datuk Bandar Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Beberapa kawasan rendah, termasuk jalan raya khususnya di sekitar Manggatal, Inanam dan Kolombong dilapor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan pada Sabtu.
Bencana banjir di Beaufort pula diisytihar pada Jumaat berikutan limpahan air Sungai Padas yang melepsi paras bahaya.
Ends