KOTA KINABALU: Parti Warisan mendakwa bantuan RM1,000 yang dijanjikan kepada mangsa banjir di Penampang berikutan banjir besar pada Jun tahun lalu belum diserahkan sehingga sekarang.
Menerusi satu kenyataan, Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun mengungkit perkara itu selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bantuan RM1,300 kepada mangsa banjir di Beaufort dan Membakut, semalam.
Katanya, bantuan itu amat diperlukan oleh mereka yang terjejas akibat bencana alam, namun menyatakan kekesalannya apabila ada mangsa banjir di Penampang masih tercicir daripada bantuan yang dijanjikan.
“Saya ingin menarik perhatian kepada nasib mangsa banjir di Penampang yang masih belum menerima bantuan tunai RM1,000 yang dijanjikan kepada mereka selepas banjir besar yang melanda daerah itu pada bulan Jun tahun lalu.
“Bencana tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar melibatkan kediaman dan harta benda penduduk dan janji bantuan tunai ini seharusnya menjadi keutamaan kerajaan.
“Malangnya, sehingga kini, ramai mangsa masih tertunggu-tunggu wang yang sepatutnya disalurkan kepada mereka,” katanya.
Berikutan itu, beliau mendesak kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk segera memberikan penjelasan mengenai kelewatan bantuan berkenaan.
Katanya, rakyat Penampang berhak mendapat layanan yang adil dan tidak sepatutnya dipinggirkan dalam proses penyaluran bantuan.
“Oleh itu, saya menuntut penjelasan segera daripada pihak berkuasa mengenai kelewatan bayaran bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Penampang selain ketelusan dalam proses pemberian bantuan agar tiada mangsa yang tercicir atau dipinggirkan.
“Saya menggesa kerajaan negeri untuk berlaku adil kepada semua mangsa banjir di Sabah, tanpa mengira lokasi.
“Ketidaktelusan dan kelewatan dalam menyalurkan bantuan hanya akan menambahkan penderitaan rakyat yang sudah pun terjejas akibat bencana,” katanya.
Terrence berkata kerajaan perlu membuktikan bahawa ia benar-benar komited dalam membantu rakyat yang memerlukan, bukan sekadar membuat pengumuman tetapi gagal melaksanakannya dengan cekap dan adil. – Info X