Search

Mangsa banjir dipindahkan ke PPS kekal 474 orang sejak tengah malam tadi

July 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah turun kepada 474 sejak tengah malam tadi hingga tengah hari ini berbanding 485 orang pada jam 8 malam tadi.

Penurunan itu disebabkan seramai 11 mangsa di PPS Dewan Pusat Kebudayaan Sabah di Penampang dibenarkan pulang malam tadi.

Bagaimanapun, PPS berkenaan masih menempatkan jumlah mangsa dipindahkan yang paling ramai iaitu seramai 285 orang daripada 93 keluarga sejak tengah malam tadi hingga jam 12 tengah hari ini.

Tiga lagi PPS iaitu di Dewan Sri Putatan, Putatan; Balai Raya Kampung Tutu Selupoh di Tuaran dan Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli masing-masing kekal dengan 138 mangsa, 33 mangsa dan 18 mangsa sejak malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), setakat ini empat daerah termasuk satu daerah kecil dikenal pasti terjejas akibat banjir dengan Penampang paling teruk terjejas.

Banjir melanda kebanyakan kawasan rendah di daerah terbabit, selain sebahagian kawasan ibu negeri, khususnya di Parlimen Sepanggar berikutan hujan lebat lebih lima jam pada Ahad lalu. – Info X