Search

Mangsa kebakaran di Likas terima RM1,000 setiap keluarga

April 27, 2023

admin

KOTA KINABALU: 18 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Saga Likas, di sini menerima sumbangan wang tunai RM1,000 bagi setiap keluarga daripada Pejabat Parlimen Sepanggar.

Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud berkata, sumbangan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin terutama untuk membeli barangan keperluan anak-anak yang akan bersekolah.

Mustapha memberi sumbangan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kampung Likas, Kota Kinabalu.

“Pejabat Parlimen Sepanggar bersedia menghulurkan bantuan sekiranya ada keperluan lain untuk mangsa kebakaran ini,” katanya ketika menyampaikan sumbangan di Dewan Serbaguna Kampung Likas, hari ini.

Ditanya berkenaan penempatan mangsa kebakaran selepas ini, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama beberapa pihak berkepentingan.

“Bantuan tambahan seterusnya akan difikirkan kemudian termasuk perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan serta agensi berkaitan lain.

“Perbincangan juga akan melihat bagaimana untuk menempatkan mangsa kebakaran selepas ini ataupun merancang semula kawasan yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan masyarakat di kawasan Sepanggar ini agar sentiasa peka dan berhati-hati mengendalikan peralatan elektrik semasa musim perayaan ini.

“Saya tahu kita akan menggunakan bekalan elektrik yang agak banyak dan pastikan kita menjaga serta menutup suis yang tidak diperlukan.

“Hati-hati terutama semasa memasak dan memasang gas, pastikan tutup dan padam api selepas selesai bagi mengelakkan kebakaran seperti ini,” katanya. – Info X