Search

Mangsa kebakaran Kampung Cempaka terima bantuan kewangan RM1,300

March 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Cempaka Likas, di sini, menerima bantuan kewangan RM1,300 bagi meringankan beban keluarga mereka berikutan musibah yang berlaku ketika menjelang Ramadan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang melawat mangsa terbabit di Dewan Serbaguna Likas, di sini, hari ini, berkata sumbangan itu masing-masing RM1,000 dari kerajaan negeri dan RM300 dari Kumpulan Yayasan Sabah.

Katanya, selain bantuan berkenaan, kerajaan negeri bersama jabatan berkaitan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai bantuan lanjut kepada mangsa kebakaran terbabit.

“Hari ini saya berkesempatan melawat mangsa kebakaran Kampung Cempaka, Likas. Kita amat prihatin dan sebagai kerajaan peduli rakyat kita telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,300 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran iaitu sebanyak RM1,000 dari kerajaan negeri, manakala RM300 lagi dari Kumpulan Yayasan Sabah.

“Kita berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini dan kita faham terutama pada bulan puasa ini mengenai ketidakselesaan dan kesusahan mereka.

“Sebab itu, kerajaan bersama pihak yang berkaitan akan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk membantu mereka seterusnya.

Hajiji melawat mangsa kebakaran Kampung Cempaka di Likas.

“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain seperti tong gas dan dapur dari Yayasan Kebajikan Sabah serta bakul makanan dari Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Cempaka, Likas, di Dewan Serbaguna Likas, pada Isnin.

Dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lalu, seramai 511 mangsa daripada 91 keluarga kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Cempaka, Likas.

Berikutan insiden itu, sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa kebakaran iaitu di PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 mangsa manakala PPS Damai seramai 57 KIR dan 311 mangsa.

Pelbaga lagi pihak turut tampil memberi bantuan makanan, antaranya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Mangsa kebakaran juga menerima bantuan awal sebaik berdaftar di PPS iaitu bantuan bakul makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain pek makanan retort dan makan minum daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA). – Info X