KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dicadang supaya memperkenalkan skim insentif khas sebagai langkah interim bagi menarik lebih ramai doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di kedua-dua negeri, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Cadangan itu disuarakan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan di bawah Kementerian Kesihatan (MAPSU) bagi menangani cabaran dalam mendapatkan tenaga petugas kesihatan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan di Sabah dan Sarawak.
Presiden MAPSU, Ajulahin Japin yang juga Presiden Sabah Medical Services Union (SMSU), berkata menerusi skim itu pihaknya mencadangkan agar kerajaan Sabah dan Sarawak menawarkan insentif RM5,000 kepada doktor dari negeri lain yang baru tiba dan RM5,000 lagi setelah mencapai tiga tahun perkhidmatan di kedua-dua negeri.
“MAPSU mencadangkan dua bentuk insentif kewangan, iaitu bayaran khas sebanyak RM5,000 kepada doktor yang datang dari negeri lain sebaik tiba untuk memulakan perkhidmatan, bagi membantu menampung kos perpindahan dan keperluan awal penempatan.
“Selain itu, bayaran insentif kedua sebanyak RM5,000 dicadangkan kepada doktor berkenaan setelah melengkapkan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, inisiatif seperti itu akan menggalakkan lebih ramai doktor dan petugas kesihatan yang lain untuk bertugas di Sabah dan Sarawak, selain menunjukkan bahawa kerajaan negeri sedia membantu untuk menangani kekurangan doktor dan bukan semata-mata bergantung kepada Kementerian Kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Ajulahin berkata, isu kekurangan doktor di Sabah bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan graduan perubatan di peringkat nasional, tetapi turut berkait dengan kesediaan doktor untuk berkhidmat di Sabah dan Sarawak serta cabaran penempatan, kebajikan dan kos perpindahan ke negeri ini.
“Kegagalan menangani masalah kekurangan doktor yang telah lama wujud mengakibatkan masa menunggu berjam-jam di jabatan pesakit luar fasiliti kesihatan.
“MAPSU ambil contoh senario di jabatan pesakit luar Hospital Ranau, di mana seorang doktor perlu memeriksa hampir 200 pesakit setiap hari dan di jabatan kecemasan pula yang beroperasi 24 jam hanya ada dua orang doktor untuk merawat 80 hingga 100 pesakit.
“Beban kerja sebegini amat berat walaupun dibantu oleh penolong pegawai perubatan. Kesejahteraan rakyat Sabah amat terjejas dan cadangan MAPSU ini perlu diterima secara positif oleh kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat,” katanya.
Ajulahin percaya insentif berjumlah RM10,000 itu dapat menjadi dorongan kepada doktor dari Semenanjung untuk menerima penempatan di kedua negeri, sekali gus membantu memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman yang amat bergantung kepada kemudahan kesihatan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya skim itu dicadangkan sebagai langkah sementara dan bukannya penyelesaian kekal.
“Pelaksanaannya boleh dikaji semula dan ditamatkan apabila bekalan graduan perubatan tempatan, khususnya dari institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja kesihatan negeri.
“Dalam masa yang sama, MAPSU menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mengkaji semula dasar pencen serta kadar bayaran insentif wilayah (BIW) yang telah mengalami pengurangan di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana pakej imbuhan dan jaminan kebajikan jangka panjang adalah antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan seseorang doktor untuk menerima dan meneruskan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata insentif kewangan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan kemudahan asas yang sewajarnya.
Sehubungan itu, katanya Jabatan Kesihatan Negeri perlu memainkan peranan aktif dalam membantu doktor yang baru ditempatkan dari luar negeri, termasuk memastikan kemudahan perumahan, pengangkutan dan keperluan asas lain tersedia, khususnya bagi penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi MAPSU, usaha menangani kekurangan doktor perlu dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi insentif kewangan, kebajikan, kemudahan penempatan dan penambahbaikan syarat perkhidmatan.
“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka.
“MAPSU berharap Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat menimbangkan cadangan ini secara serius serta mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian yang praktikal dan segera demi kepentingan petugas kesihatan serta rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.-Info X