KOTA KINABALU: Bukan hanya menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia turut turun padang mendekati masyarakat menerusi pelbagai inisiatif baharu sempena Kembara Maritim Jalur Gemilang 2026.
Program dilaksanakan Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu mengetengahkan pendekatan berteraskan komuniti, selain menyemarakkan semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan masyarakat di Sabah.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, antara inisiatif diperkenalkan ialah Kotak Kembara Cilik di Nabawan serta Pek Kembara Cilik.

Katanya, Kotak Kembara Sejahtera pula diperkenalkan di Kalabakan, manakala Beg Kembara Sejahtera dan pin ‘Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah’ dilancarkan di Semporna.
“Pek Kembara Sejahtera turut akan diperkenalkan di Paitan sebelum diperluaskan ke lokasi persinggahan kembara yang lain.
“Inisiatif ini menjadi medium menyemarakkan semangat cintakan negara serta memupuk nilai patriotisme dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.

Mohd Khairulanuar berkata, pendekatan berkenaan membolehkan Maritim Malaysia bukan sahaja menyampaikan mesej berkaitan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, malah mengeratkan hubungan dengan masyarakat secara lebih dekat, inklusif dan berimpak.
Menurutnya, Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperkasakan program berteraskan komuniti bagi meningkatkan kesedaran bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara turut bermula dengan semangat patriotisme rakyat.

Katanya, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati dalam memastikan peranan Maritim Malaysia tidak hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan di laut, sebaliknya turut mendekati masyarakat di setiap pelosok Sabah. – Info X