Search

Maritim Malaysia gagalkan cubaan PATI menyusup masuk ke Labuan

March 26, 2023

admin

LABUAN: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak menyusup masuk secara haram dengan menaiki bot kayu gagal apabila ditahan pihak berkuasa di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut, di sini, pagi tadi.

Semua PATI warga Filipina berusia lingkungan lima hingga 40 tahun itu ditahan Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon MaritimLabuan, kira-kira jam 10.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera mengesan bot kayu bergerak laju dalam keadaan mencurigakan dari Menumbok ke Labuan.

Katanya, pemeriksaan mendapati tekong dan semua penumpang adalah PATI tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Bot kayu melakukan kesalahan belayar keluar dari had pelayaran yang dibenarkan.

“Semua PATI yang ditahan merupakan warga Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nudin berkata, bot kayu dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang salah laku jenayah di laut,” tegasnya. – Info X