TAWAU: Cubaan menyeludup keluar sebanyak 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam satu operasi di perairan daerah ini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Ariffin Ghazali, berkata kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diterima ketika bot peronda agensi berkenaan menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, bot peronda diarahkan ke lokasi yang dikenal pasti sebelum berjaya memintas sebuah bot kargo yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3 menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 6.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditahan pada kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3 itu mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun membawa muatan 30 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit sah.
“Muatan berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, selain juragan terbabit juga tidak mempunyai daftar nama dalam lesen bot yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Ariffin berkata, juragan bersama bot serta keseluruhan muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan gas disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM30,000,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi terutama di lokasi ‘hotspot’, susulan taktik sindiket yang memilih waktu sunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya di perairan Tawau.
“Maritim Malaysia memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset ronda sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut boleh menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X