Search

Masalah tenaga buruh dihadapi pekebun kecil kelapa sawit membimbangkan – Warisan

September 18, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU : Parti Warisan hari ini melahirkan kebimbangannya terhadap isu yang sedang dihadapi oleh pekebun kecil kelapa sawit di Sabah khususnya mengenai masalah tenaga buruh yang dikhuatiri akan menjejaskan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

Parti itu juga percaya bahawa Kerajaan Negeri mesti bersedia dengan penghijrahan beramai-ramai pekerja Indonesia kembali ke negara asal mereka serta potensi ancaman fenomena El Nino yang akan memburukkan lagi keadaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tunku, Assaffal Alian menyatakan bahawa rakyat Sabah masih mengingati krisis kekurangan minyak masak yang melanda negeri ini tahun lalu dan apabila harga 1 kilogram minyak masak bersubsidi naik mendadak dari RM2.70 ke RM6.00 sepaket.

“Seperti rakyat Sabah yang lain, Warisan pada mulanya beranggapan bahawa kekurangan pada masa itu adalah disebabkan oleh aktiviti menyorok dan penyeludupan tetapi apabila kami memeriksa laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai KDNK Negeri 2022, kami menyedari ianya mungkin tidak tepat.

“DOSM melaporkan bahawa “sektor pertanian untuk Sabah jatuh sebanyak 0.2 peratus (2021: -2.2%) disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor tanaman, terutamanya aktiviti kelapa sawit” dan apabila Warisan membuat semakan lanjut, kami mendapati daripada laporan MPOB bahawa “pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) di Sabah merosot sebanyak 1.7% daripada 4.36 juta tan pada 2021 kepada 4.29 juta tan pada 2022”.

“Yang menariknya, MPOB turut mengesahkan bahawa bagi tahun yang sama (2022), “pengeluaran minyak sawit mentah di Semenanjung Malaysia dan Sarawak masing-masing telah meningkat sebanyak 3.2% dan 2.5% kepada 10.16 juta tan dan 4.01 juta tan” dan ini menimbulkan rasa ingin tahu kami mengapa kedua-dua Semenanjung dan Sarawak mencatatkan peningkatan tetapi Sabah pula menurun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Assaffal berkata, hal ini menimbulkan tanda tanya kerana dari segi keluasan kelapa sawit yang matang, Sabah merekodkan 1,326,940 hektar manakala Sarawak pula 1,488,917 hektar. Katanya, adalah tidak logik untuk mengatakan bahawa penurunan ini adalah disebabkan oleh faktor cuaca kerana kedua-dua negeri ini terletak di pulau yang sama.

“Semasa sesi mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang lalu, Presiden Warisan (Datuk Seri Shafie Apdal) telah bertanyakan sebab penurunan dalam industri minyak sawit sepertimana yang dilaporkan oleh DOSM itu tetapi Kementerian Pertanian Perikanan dan Industri Makanan (MAFI) seolah-olah mahu mengelak dari menjawab soalan itu apabila mereka sebaliknya menyatakan, dalam jawapan bertulisnya, bahawa nilai eksport minyak sawit Sabah meningkat sebanyak 25%.

“Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Warisan telah menyiasat lebih mendalam dan terkejut apabila mengetahui bahawa “hasil tandan buah segar (FFB) di Semenanjung Malaysia dan Sarawak meningkat sebanyak 1.0% dan 1.4% kepada 16.41 tan sehektar dan 14.13 tan sehektar pada tahun 2022 masing-masing berbanding tahun 2021 manakala hasil FFB Sabah menurun sebanyak 2.4% kepada 15.39 tan sehektar pada 2022 berbanding 2021.

“Warisan kini percaya bahawa kejadian kekurangan minyak masak bersubsidi di negeri ini bukan sahaja disebabkan oleh pengeksportan atau penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran tetapi juga disebabkan oleh isu tenaga buruh untuk menuai buah kelapa sawit.

“Kita amat bersimpati dengan nasib pekebun-pekebun kecil kita, yang tidak dapat memaksimumkan keuntungan mereka kerana kekurangan tenaga buruh dan pada masa yang sama pula, dikehendaki untuk membayar cukai jualan 7.5% namun apa yang lebih membimbangkan ialah nasib rakyat Sabah yang memerlukan minyak masak bersubsidi.

“Dengan kemungkinan penghijrahan beramai-ramai pekerja Indonesia dari Sabah ke Kalimantan untuk berkerja di sektor pembangunan wilayah itu serta ancaman El Nino, Warisan meramalkan masalah kekurangan minyak masak bersubsidi atau kenaikkan harga secara mendadak akan kembali menghantui kita melainkan Kerajaan Negeri bertindak sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menyatakan bahawa adalah penting bagi Kerajaan Negeri untuk mengkaji, mempertingkatkan dan menguruskan industri kelapa sawit di Sabah dengan sebaiknya bagi memastikan industri ini memberi manfaat kepada rakyat Sabah secara langsung.

“Oleh kerana perkara berkaitan dengan tenaga buruh dalam industri minyak sawit berada di bawah garis panduan RSPO, maka adalah penting untuk Kerajaan Negeri memainkan peranannya sebagai fasilitator terutamanya dari segi dokumentasi pekerja.

“Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai jualan 7.5% keatas minyak sawit mentah yang membebankan pekebun kecil pada masa mereka beroperasi tanpa keuntungan maksimum dan kerajaan bolehlah menyemak cukai ini semula selepas semua isu penting telah diselesaikan.

“Kita juga perlu mewujudkan satu pangkalan data yang berasingan mengenai sumbangan CPO dan hasil derivatif minyak sawit lain oleh daerah-daerah penananaman kelapa sawit utama dan menggunakan prinsip pengagihan kewangan yang adil di bawah MA63 dengan memastikan daerah-daerah ini menerima kembali sekurang-kurangnya 40 peratus daripada sumbangan masing-masing untuk tujuan menaik taraf infrastruktur awam dan utiliti atau tujuan pengurusan di kawasan mereka sendiri,” kata bekas Menteri Perdagangan dan Industri itu. – Info X