Search

Masih ramai rakyat termiskin di Sabah tidak tersenarai eKasih – Riduan

March 24, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, masih ramai rakyat termiskin di Sabah khususnya di Tenom masih tidak tersenarai dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Katanya, beliau menerima aduan daripada pemohon yang layak dan mendakwa mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan eKasih.

Beliau berkata, lebih mengecewakan lagi apabila sebahagian permohonan mereka ditolak setelah menunggu bertahun lamanya tanpa dinyatakan alasan serta sebab munasabah.

“Saya sendiri telah turun mengadakan lawatan dan pertemuan dengan mereka ini (pemohon eKasih) dan mendapati bahawa kehidupan mereka sangat daif serta memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan dengan kadar segera.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk mereka (rakyat termiskin yang layak) mendapatkan kelulusan daripada kementerian berkenaan kerana sekiranya permohonan mereka diterima, sudah pasti ianya akan memudahkan urusan mereka dalam memohon bantuan lain seperti rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bantuan kebajikan dan rawatan di hospital”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Riduan berkata, dalam beberapa siri lawatan di sekitar Tenom, beliau sempat menziarahi orang meninggal dan apa yang menyedihkan adalah si mati meninggal kerana tidak mampu membayar rawatan di hospital bagi mengubati penyakit kronik dihadapinya.

“Akhirnya, beliau terpaksa membiarkan dirinya menanggung kesakitan sehingga ke akhir hayatnya”, katanya.

Beliau turut menggesa supaya sistem pangkalan data eKasih ditambah baik supaya dapat mengenal pasti data yang lebih mikro agar ianya lebih tepat hingga berupaya untuk menyasarkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan bagi mengelakkan keciciran.

Katanya, penstrukturan semula sistem eKasih juga perlu dibuat agar ianya lebih bersepadu serta memperbaiki kaedah kelulusan.

Beliau berpendapat, setiap peringkat lapisan kepimpinan terutamanya Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu dilibatkan secara aktif bagi mengenal pasti inidividu yang layak untuk disenaraikan ke dalam sistem eKasih agar tiada individu memerlukan diabai dan disisihkan.

“Saya berharap agar kriteria kelulusan sedia ada dikaji semula oleh pihak berwajib memandangkan ramai permohon yang layak namun dinafikan hak mereka agar keadilan sosial yang sewajarnya dapat diterjemahkan kepada mereka”, katanya. – Info X