Search

Masiung didakwa hina rakyat isu kilang simen dalam hutan

April 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkan kenyataan ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah yang mempertahankan pembinaan kilang simen dalam hutan di Tongod sebagai menghina kebijaksanaan rakyat.

Penyelaras BN Kuamut, Datuk Johnny Intang, turut menyifatkan kenyataan Masiung baru-baru ini menunjukkan sikap angkuhnya, selain mendedahkan sikap tidak peduli dan bongkak kerajaan GRS terhadap nasib masyarakat luar bandar.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Datuk Masiung Banah yang mempertahankan pembinaan kilang simen di kawasan hutan di Tongod satu keputusan yang tidak masuk akal dan menghina kebijaksanaan rakyat.

“Kenyataan angkuh beliau, bukan saja memperlekeh kebimbangan rakyat tetapi mendedahkan sikap tidak peduli dan bongkak kerajaan GRS terhadap nasib masyarakat luar bandar.

“Lebih menjijikkan, apabila beliau melabel kritikan rakyat sebagai cerita kedai kopi. Ini bukan sekadar satu penghinaan terhadap suara rakyat tetapi satu bukti bahawa GRS kini terlalu selesa menutup kelemahan sendiri dengan sindiran murahan, bukannya memperbaiki kelemahan pentadbiran.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah aduan penduduk yang mendakwa berlaku aktiviti pembalakan dan terbaru seorang penduduk di kawasan terbabit nyaris maut selepas kayu balak jatuh di depan rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Masiung sebelum ini yang mengatakan tiada salahnya membina kilang simen dalam hutan berbanding di bandar yang mungkin mencetus ketidakselesaan rakyat.

Johnny yang juga bekas ADUN Kuamut, berkata BN tidak menolak pembangunan tetapi menolak pembangunan yang dirancang secara semberono, tanpa kajian, tanpa ketelusan dan akhirnya memangsakan rakyat serta merosakkan alam sekitar.

“Rakyat Tongod sudah cukup lama dianaktirikan, kini disajikan pula dengan projek yang menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian.

“Bila bekalan elektrik akan stabil? Di mana jalan raya yang sempurna? Ini bukan soal politik, ini soal keadilan dan keselamatan rakyat.

“Saya mencabar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk tidak berdiam diri, tampil segera jawab kepada rakyat.

“Dedahkan segala dokumen berkaitan projek ini dan siasat semua kelulusan pengambilan balak di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, BN tidak akan berdiam diri melihat kerajaan GRS terus memperbodohkan rakyat dengan projek yang membebankan alam, menekan rakyat dan penuh dengan misteri. – Info X