Search

Masuk rumah tanpa izin, ugut pula ibu dan anak

November 6, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Sudahlah masuk rumah tanpa kebenaran, seorang lelaki warga asing bertindak mengugut mahu mencederakan seorang wanita bersama anaknya dalam kejadian di Kampung Serudong Laut, di sini.

Kejadian berlaku apabila suspek yang dikenali datang ke rumah mangsa untuk meminta makanan sebelum masuk tanpa izin.

Namun, anak wanita itu menegur tindakannya yang dianggap biadab dan tidak sopan.

Teguran itu bagaimanapun mengundang kemarahan suspek yang kemudian melemparkan kata-kata berunsur ugutan dan mengancam mahu mencederakan ibu serta anak berkenaan.

Bimbang keselamatan diri dan keluarga, wanita itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota daripada Balai Polis Wallace Bay segera digerakkan ke lokasi selepas menerima laporan.

“Susulan maklumat diterima, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia sekitar 35 tahun di sebuah kebun kelapa sawit berhampiran kampung berkenaan.

“Turut dirampas sebilah pisau bedik yang dipercayai digunakan dalam kejadian ugutan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – Info X