KOTA KINABALU: Masyarakat perlu yakin terhadap penugasan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam memastikan keselamatan setempat terus terpelihara.
Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, keupayaan pihak polis terbukti apabila beberapa kes jenayah yang berlaku di pusat bandar.
Katanya, baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan beberapa insiden samun serta kes pecah kenderaan bagaimanapun, ia berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah terhadap usaha yang ditunjukkan oleh pihak polis dalam menyelesaikan kes ini sehingga berjaya membawa suspek terlibat untuk dituduh di mahkamah.
“Berdasarkan taklimat daripada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, kebanyakkan kes yang direkodkan ini adalah dijalankan secara persendirian dan bukan jenayah terancang daripada suspek terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan rondaan bersama IPD Kota Kinabalu di Jalan Gaya, di sini, hari ini.
Foong Hin berkata, ada dalam kalangan suspek warga asing yang datang mendarat di tanah besar Kota Kinabalu dipercayai sengaja berlegar di lokasi untuk melakukan jenayah samun atau ragut.
Katanya, penugasan polis secara berterusan termasuk pelaksanaan program tinjauan mesra atau walkabout di lokasi tumpuan mengikut pembahagian masa pagi dan malam serta Op Payung diyakini mampu mengurangkan jenayah di kawasan tumpuan.
“Masyarakat bukan sahaja perlu yakin dengan penugasan ini tetapi perlu memberikan kerjasama dalam memastikan kadar keselamatan lebih terjamin.
“Pihak peniaga dan pengusaha premis di sekitar lokasi tumpuan terutama perbankan perlu memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik selain diletakkan di kedudukan strategik yang boleh merakam kawasan sekitar premis.
“Sebagai contoh, kejadian samun yang berlaku baru-baru ini dapat diselesaikan melalui rakaman CCTV yang membantu mengenal pasti suspek, CCTV yang dipasang menghala ke lokasi tumpuan membantu merakam sebarang kejadian tidak diingini serta kecemasan,” katanya.
Dalam pada itu, Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, pihaknya akan berusaha menyampaikan sebarang kekurangan fasiliti yang diperlukan polis kepada pihak berwajib.
“Baru-baru ini saya sampaikan sumbangan berbentuk komputer riba kepada IPD Kota Kinabalu bagi kapasiti Ahli Parlimen Kota Kinabalu untuk memenuhi keperluan fasiliti anggota polis dalam menerima laporan polis.
“Untuk keperluan penambahan CCTV di sekitar pusat bandar memerlukan dana daripada pihak berwajib termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau pihak berwajib lain dan sekiranya terdapat keperluan mendesak lain mungkin kita akan pertimbangkan langkah yang boleh diambil,” katanya.
Foong Hin berkata, pihaknya komited memberikan kerjasama penuh serta memastikan keperluan penugasan PDRM dipenuhi berikutan Kota Kinabalu menjadi antara lima destinasi pelancongan utama dalam negara.
“Kita ingin memastikan bukan hanya aspek keselamatan setempat dijaga tetapi juga memastikan pelancong luar yang datang ke sini yakin dengan keadaan keselamatan seterusnya memastikan imej Bandaraya Kota Kinabalu terus terpelihara,” katanya. – Info X