KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang meninggal dunia kerana masalah perubatan baru-baru ini menjadi penderma organ keempat di Sabah, tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, mendiang Zeno Linos, 31, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Katanya, selepas keluarga dimaklumkan mengenai pilihan untuk menderma organ, pihak keluarga bersetuju mendermakan mata (sepasang kornea) kepada pesakit yang memerlukan.
“Prosedur pendermaan kornea telah disempurnakan dan kemudian berjaya ditransplan ke atas dua pesakit di HQE.
“Kedua-dua penerima terbabit ini dalam proses penyembuhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Rose Nani berkata, pihaknya mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan.
“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga tabah menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Sementara itu, sikit latar belakang mengenai penderma pada kali ini iaitu mendiang Zeno Linos yang berketurunan Dusun adalah anak kelima daripada tujuh beradik dan belum berkahwin.
Mendiang berasal dari Kampung Kokol, Manggatal dan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kokol dan seterusnya ke peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manggatal.
Mendiang kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Politeknik Kota Kinabalu dan pekerjaan terakhir mendiang adalah sebagai tukang masak di salah sebuah restoran di bandar raya.
Menurut keluarga, mendiang seorang anak yang taat dan baik hati serta rajin membantu keluarga seperti menjaga ibunya dan membersihkan sayur-sayuran untuk dijual di tamu.
Walaupun sedih atas kehilangan orang tersayang, pihak keluarga bersyukur di atas peluang menjalankan kebaikan sebagai tanda cinta kasih daripada Tuhan dan berharap supaya menjadi contoh kepada masyarakat khususnya di Sabah mengenai pendermaan organ. – Info X