KOTA KINABALU: Pengunjung sebuah pusat beli di Jalan Lapan Belas, di sini, hari ini digemparkan dengan kejadian seorang lelaki terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan.
Dalam kejadian jam 3.24 petang itu, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, lelaki terbabit dipercayai terjatuh dari bangunan pusat beli belah dan berada dalam keadaan meniarap di atas lantai luar bangunan berkenaan.
Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati, lelaki terbabit dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan berkenaan.

“Pemeriksaan di tingkat lima mendapati sepasang selipar dipercayai milik mangsa masih berada di tingkat berkenaan.
“Mangsa mengalami parah di kepala dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X