NABAWAN: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu di Kampung Malinja A&B, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 29 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan sebelum pasukan bomba dipanggil ke lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Azran Jull berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.49 pagi.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera dari BBP Nabawan digerakkan ke lokasi sejauh empat kilometer dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan berbahaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut disertai KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. – Info X