Search

Mayat bayi dalam plastik di tandas homestay

November 7, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Bau busuk dari tandas sebuah bilik homestay di Aeropod, Jalan Kepayan, di sini, semalam membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan, dipercayai ditinggalkan seorang wanita yang menginap di situ.

Mayat bayi cukup sifat itu ditemui di bahagian belakang tangki tandas oleh pekerja homestay berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik di ruang bahagian belakang tangki tandas.

Mayat bayi ditemui dalam plastik di bahagian belakang tangki tandas sebuah homestay di Aeropod, Jalan Kepayan, Kota Kinabalu. – Foto/PDRM

“Dalam plastik itu ditemui satu mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya dipercayai baru dilahirkan.

“Mayat bayi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi menjalani bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita berusia 20 tahun yang mendaftar masuk ke homestay berkenaan.

“Wanita itu dipercayai mendaftar masuk ke homestay berkenaan tiga hari sebelum penemuan mayat bayi terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Inspektor Nur Hatin Amera Mohd Khir di talian 0111-2939436. – Info X