TAWAU: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika sedang menyeberang menggunakan rakit di Sungai Udin, di sini, semalam ditemui tengah hari tadi.
Mayat Zulkefli Sunan, 52, ditemui pasukan penyelamat kira-kira dua kilometer di hilir sungai daripada tempat mangsa dipercayai hilang.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.06 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seramai 13 orang Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan dan Umas.
“Menurut pengadu, mangsa dibaham buaya ketika sedang menyeberangi sungai menaiki rakit buluh dengan muatan kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, operasi hari kedua dijalankan seawal 7.23 pagi di sekitar Sungai Udin menggunakan bot dengan anggaran radius lima kilometer.
“Mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 1.31 petang kira-kira dua kilometer di hilir sungai tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat lelaki terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X