KOTA KINABALU: Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di laut berhampiran kawasan Sunsite Bar, Tanjung Aru, di sini, petang tadi.
Mayat mangsa berusia lingkungan 20-an ditemui oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima makluman daripada APM yang menghubungi Balai Polis Tanjung Aru berhubung penemuan berkenaan.
“Mayat terbabit kemudiannya dibawa naik oleh pasukan APM dan seterusnya dibawa ke Menara APM Tanjung Aru untuk tindakan lanjut.
“Pasukan polis turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Pasukan Forensik dan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah turut dikerah ke lokasi untuk membantu.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Balai Polis Tanjung Aru atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222,” katanya. – Info X