LABUAN: Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menjalankan kerja pemasangan perencah di bawah jeti di Jalan Tanjung Purun, di sini, pagi tadi ditemui lemas, hari ini.
Mangsa berusia 27 tahun ditemui lemas jam 1.21 tengah hari oleh unit penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan di dasat laut di bawah jeti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa bersama 10 rakan sekerjanya tiba di jeti berkenaan untuk membuat kerja-kerja pemasangan perencah di bahagian bawah jeti.
Katanya, pada jam 11.35 pagi, rakan mangsa mendapati mangsa tiada di tempat berkenaan secara tiba-tiba dan hanya melihat topi keledar keselamatan milik mangsa terapung di laut di bawah jeti berkenaan.

“Rakan mangsa cuba untuk mencarinya di kawasan sekitar namun gagal menemui mangsa.
“Rakan mangsa kemudiannya naik ke atas jeti dan membunyikan siren kecemasan yang terletak di jeti berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihak polis menerima makluman berkaitan kejadian itu lalu sepasukan polis bersama Pasukan Polis Marin (PPM) bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Pada 1.21 tengah hari, penyelam daripada JBPM Labuan berjaya menemui mangsa di dasar laut di bawah jeti berkenaan.
“Mangsa seterusnya dibawa naik ke atas jeti dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Labuan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Pabuan untuk tindakan lanjut.
“Polis sedang menjalankan siasatan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222,” katanya. – Info X