Search

MAYAT MULAI KEMBUNG, BERULAT DITEMUI DI SOOK

May 9, 2022

admin

KENINGAU: Mayat seorang lelaki yang dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan ditemui di daerah Sook, di sini, ditemui, petang tadi.

Mangsa berusia 22 tahun terbabit ditemui dalam keadaan mulai kembung dan berulat di dalam sebuah parit di tepi jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kampung Tulid menuju ke Kampung Kuit, di sini.

Bagaimanapun katanya, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui satu selekoh tajam sebelum terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam parit berhampiran.

“Siasatan awal di lokasi, mangsa ditemui di dalam parit dipercayai dalam tempoh sehari atau lebih berikutan keadaan mayat yang sudah mulai kembung dan berulat.

“Mangsa menunggang motosikal seorang diri dan dipercayai meninggal dunia sejurus selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nor Rafidah berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian mangsa sendiri berdasarkan kedudukan motosikal dan mayat mangsa.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X