Search

Mayat remaja lemas di Tuaran, ditemui di perairan Kudat

July 15, 2023

Info X Reporters

TUARAN: Remaja lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melalui jambatan gantung Kampung Damat – Kampung Lakang, di sini, ditemui lemas di perairan Kudat, pagi tadi.

Mayat Mohd Hisham Iskandar Azli, 13, ditemui oleh orang awam di perairan Kudat, Kampung Rukom, kira-kira 102.13 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, memasuki hari kelapan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pihaknya menerima maklumat awam penemuan mayat seorang remaja lelaki yang pada 9.10 pagi di perairan Kudat, Kampung Rukom.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan penyelamat bergerak ke lokasi bagi pengesahan.

“Pengecaman awal identiti mangsa oleh ahli keluarga pada 4.15 petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan di kawasan jambatan hingga menyusuri sungai di Tuaran. – Foto/Bomba

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5 petang,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat disertai JBPM; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Pasukan Gerakan Am (PGA); Pasukan Polis Marin (PPM); Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

Terdahulu, Info X melaporkan pada 8 Julai lalu, Mohd Hisham bersama lima rakannya berada di atas jambatan gantung sebelum mangsa dipercayai tergelincir jatuh ke dalam sungai.

Pasukan bomba berada di lokasi kejadian mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya menjalankan operasi SAR di kawasan pinggir sungai bersama agensi bantuan PDRM, APM dan orang kampung menggunakan bot. – Info X