Search

Mayat remaja perempuan dikhuatiri lemas ditemui

August 30, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Remaja perempuan yang hilang selepas hanyut dibawa arus sungai semasa menjalankan aktiviti mandi di Daradaat View Kampung Ratau, ditemui meninggal dunia, hari ini.

Mangsa, Qiezlle Yukiko Gerald, 14, yang hilang sejak Isnin lalu, dilaporkan ditemui kira-kira lima kilometer daripada lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi SAR yang masuk hari ketiga dimulakan pada jam 8 pagi tadi.

Mayat mangsa perempuan berusia 14 tahun ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian, pagi tadi. – Foto/Bomba

Katanya, operasi pencarian membabitkan beberapa kumpulan itu dijalankan di sekitar kawasan permukaan sungai dan sepanjang pinggir sungai.

“Mangsa berjaya ditemui pasukan bomba kira-kira lima kilometer daripada Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 10.20 pagi.

“Pasukan bomba terus membawa mayat mangsa ke PKTK sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syazwan berkata, susulan penemuan mangsa, operasi Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 12 tengah hari.

Ahli parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah turut berada di lokasi kejadian dan menemui keluarga mangsa lemas, semalam.

Katanya, operasi kali ini membabitkan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Bomba Bantuan (PBB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kudat.

“Operasi SAR turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu Badan Bukan Kerajaan (NGO) Rafting Borneo.

Terdahulu mangsa dilaporkan hilang semasa berada di sungai terbabit kira-kira jam 2.30 petang 28 Ogos lalu.

Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan lemas di bawah Jambatan Gantung Daradaat View ketika melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga pada jam 2.30 petang. – Info X