SANDAKAN: Mayat seorang remaja perempuan dipercayai mangsa bunuh ditemui di dalam semak dan berlumpur di Kampung Forest, di sini, hari ini.
Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Fuad Abdul Malek berkata, sejurus pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi berkenaan, polis menemui mayat remaja perempuan itu dalam kawasan semak dan berlumpur.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati dibunuh.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, bertindak atas maklumat, jam 12.30 tengah hari, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun berhampiran lokasi kejadian.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya melaporkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau tularkan gambar mayat mangsa kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan pihak polis. – Info X