TAWAU: Identiti mayat lelaki yang ditemui tergantung di dahan sebatang pokok di kawasan semak di Jalan Megah 9, Selasa lalu sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa terbabit berusia 49 tahun dan warga Indonesia.
“Waris mangsa iaitu adik iparnya melakukan pengecaman di kamar mayat Hospital Tawau, semalam dan mengesahkan identiti mangsa terbabit.
“Melalui temubual awal ke atas waris dipercayai mangsa mengalami gangguan jiwa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, punca kematian belum diperoleh kerana proses bedah siasat hanya akan dijalankan esok.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis juga menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui sebab-sebab kematian.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Terdahulu, pada Selasa lalu,
penduduk di sekitar Taman Megah Jaya 9, Jalan Megah 9, di sini, gempar dengan penemuan mayat lelaki dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pada jam 10.45 pagi sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. – Info X