KOTA KINABALU: Meleleh air mata mendengar perkhabaran empat anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, di sini maut dalam nahas helikopter di Lumut, Perak pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam TLDM Teluk Sepanggar, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh berkata, semua rakan kepada anggota yang terkorban itu hanya mampu menangis menerima berita sedih itu.
Katanya, kehilangan anggota yang diketuai Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli, yang turut bertindak sebagai juruterbang sebuah daripada helikopter pasukan itu amat dirasai.
“Bila mendengar berita mengenai insiden itu, kami meleleh air mata tadi. Ramai meleleh air mata.
“Arwah sangat baik, seorang yang ceria, suka tolong orang. Memang kehilangan arwah terasa sangat,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, beliau sangat rapat dengan Pegawai Memerintah, Komander Muhammad Firdaus Ramli.
“Saya amat mengenali arwah (Muhammad Firdaus). Pada raya baru-baru ini, saya ada membawa media untuk tinjauan udara menggunakan helikopter.
“Masa itu, helikopter dikendalikan oleh Komander Muhammad Firdaus, helikopter itulah yang terbabit insiden pagi tadi di Lumut,” katanya.
Difahamkan, ahli keluarga pegawai dan anggota Skuadron 503 yang berpangkalan di TLDM Teluk Sepanggar, dibawa ke Kuala Lumpur, petang ini.

Mohd Fadzhil berkata, ketika ini, pihaknya sedang mengurus untuk membawa keluarga anggota yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak itu.
Semua ahli keluarga anggota dan pegawai yang terkorban dibawa menaiki pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), jam 1.20 tengah hari tadi.
Sementara itu, Wartawan TV3 Sabah, Safwan Sawi, berkata beliau amat terkejut dan sedih apabila mendengar berita itu lebih-lebih lagi apabila mengetahui juruterbangnya, Komander Muhammad Firdaus Ramli antara yang terkorban dalam tragedi itu.

“Baru saja beberapa minggu lalu kru TV3 diberi peluang menaiki pesawat berkenaan untuk liputan penugasan anggota TLDM dari skuadron terbabit, sebelum tiba-tiba hari ini dapat berita ia terbabit nahas di Lumut.
“Ia amat menyedihkan dan saya turut bersimpati terhadap keluarga anggota yang maut serta seluruh warga TLDM, lebih-lebih lagi dari Skuadron 503,” katanya ketika dihubungi.
TLDM hari ini mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
Mereka yang terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; BM TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.
Manakala dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – Info X