MEMBAKUT: Beberapa kawasan rendah di daerah ini dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Membakut akibat hujan berterusan sejak pagi tadi.
Antara yang terjejas ialah pekan lama Membakut dan kampung sekitarnya dengan beberapa laluan dinaiki air hingga tidak dapat dilalui kenderaan.
Berikutan situasi itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut yang dipengerusikan Pegawai Daerahnya, Ibrahim Terki, mengisytiharkan bencana banjir pada jam 3 petang tadi.
Katanya, pengisytiharan bencana itu mengambil kira maklumat lapangan dan laporan agensi berkaitan berhubung perkembangan semasa situasi banjir di daerah ini.

“Dengan itu, adalah diisytiharkan bahawa berlaku bencana banjir di daerah Membakut yang menyebabkan beberapa kawasan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir mula terjejas.
“Saya telah mengarahkan agar semua agensi keselamatan berada di lapangan bagi memantau dan melakukan penilaian semasa keadaan banjir, terutamanya bagi pemindahan mangsa banjir.
“Bilik Gerakan Bencana (PKOB) Daerah Membakut juga telah dibuka dan semua petugas jabatan diminta bertugas sesuai tugas dan jadual yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Difahamkan, ketika ini beberapa agensi terbabit dalam operasi bencana sedang melaksanakan pemindahan penduduk yang terjejas. – Info X