Search

Menyamar polis, samun, tumbuk mangsa ditahan

February 1, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Dua individu bertindak melampau apabila tidak hanya menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun, malah turut menampar dan menumbuk mangsa, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, mangsa lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum didatangi dua individu iaitu seorang lelaki dan wanita di Pasar Batu 5, Jalan Apas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan memakai vest polis.

Katanya, suspek terus merampas telefon bimbit dan memegang tangan mangsa.

“Suspek kemudian menampar dan menumbuk pipi mangsa sebelah kiri. Akibat itu mangsa lebam di bahagian mata.

“Suspek turut mengeluarkan perkataan ugutan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Barang yang dirampas susulan penahanan suspek terbabit. – Foto/PDRM

Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek lelaki berusia 28 tahun di Kampung Muhibbah Raya, Jalan Kuhara, semalam.

“Seterusnya hasil siasatan, pasukan polis turut menahan wanita yang terbabit dalam kejadian itu.

“Polis turut merampas beg warna hitam dan sehelai jaket milik suspek lelaki. Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau terbabit judi,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 dan Seksyen 170 kanun yang sama.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai penjawat awam kerana ia satu kesalahan jenayah yang boleh diambil tindak undang-undang,” katanya. – Info X