Search

Meratap pilu di sisi mayat suami

June 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang isteri meratap pilu di sisi mayat suaminya yang maut selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa Ironsranciska Eyah, 40, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bawah lori berkenaan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tagas, Tuaran selepas habis kerja di Kolombong, di sini.

Isteri mangsa yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi, namun hanya dapat melihat suaminya berada di dalam kenderaan polis sebelum dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Polis bersama bomba mengangkat mayat mangsa yang maut kemalangan Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Taman Puri Warisan, Inanam, Kota Kinabalu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan berkenaan pada jam 5.30 petang.

Susulan itu, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kemalangan membabitkan lori lapan tan dengan sebuah motosikal dan penunggang motosikal terbabit tersepit di bawah lori.

“Mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain wujud.

“Mayat mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam. – Info X