KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang baharu, Mohd Ismail Ayob atau Miha mengangkat sumpah sebagai ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.
Mohd Ismail, 44, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yahya pada upacara angkat sumpah yang berlangsung jam 10 pagi.
Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag pada 24 Januari lalu dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah, Mazliwati Abdul Malek.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lalu.
Mohd Ismail yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRK itu sebelum ini adalah calon Bebas ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November tahun lalu.
Hadir sama pada majlis angkat sumpah itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin. – Info X