KOTA BELUD: Pendekatan mini estet padi di kawasan sawah terbiar di negeri ini akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi dan beras di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata inisiatif itu dibincangkan dalam sesi libat urus bersama pelbagai agensi pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, satu sesi libat urus yang dipengerusikannya dan dihadiri Pengarah Bahagian Pertanian, Kementerian Ekonomi Persekutuan, Datuk Zul Hadi Ahmad serta agensi pertanian yang terlibat diadakan hari ini.
“Pada sesi itu kita membincangkan untuk membangunkan lebih kurang 2,000 hektar lagi tanah terbiar melalui pendekatan mini estet,” katanya ketika ditemui media ketika melawat Pusat Pengeluaran Benih Padi Timbang Menggaris, di sini, pada Selasa.
Jamawi berkata, melalui pendekatan mini estet padi, pembangunan tanah terbiar dijangka dibiayai Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi.

“Dengan mini estet ini, insyaAllah dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi, kita akan dapat membangunkan lebih banyak tanah-tanah terbiar.
“Yang pentingnya, petani-petani kita akan mendapat hasil dan juga dapat mengusahakan tanah mereka yang sudah sekian lama terbiar tanpa penanaman dan tanpa pendapatan untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan industri padi di Sabah.
“Jadi kita usahakan yang terbaik untuk rakyat Sabah dan kita akan terus memberikan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan industri padi negeri Sabah,” katanya.
Hadir sama ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan; Timbalan Pengerusi Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Musbah Jamli; Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI, Awang Dzulkernain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jifrin Mohamad; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ramle Kasin bersama pegawai dari Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) serta agensi di bawah MAFFI dan Kerajaan Persekutuan. – Info X