Search

Miskin tegar selesai, pengangguran meningkat? – Junz Wong

August 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mempersoalkan kesahihan dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini ketika masalah pengangguran dilapor meningkat.

Naib Presidennya, Datuk Junz Wong, berkata peningkatan kadar pengangguran kepada 8.71 peratus pada tahun ini berbanding 7.3 peratus tahun lalu berdasarkan data terkini portal data Malaysia menunjukkan kerajaan sekarang gagal menangani peningkatan pengangguran dan kos sara hidup.

Kadar berkenaan katanya adalah yang tertinggi di Malaysia, dengan lebih 165,000 rakyat Sabah bergelut untuk mencari pekerjaan.

“Sekali lagi juara pengangguran tinggi ialah Sabah! Bagaimanakah Ketua Menteri boleh mendakwa kejayaan membasmi kemiskinan tegar sedangkan rakyat kita menghadapi cabaran ekonomi dan pekerjaan yang begitu teruk?” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Menteri baru-baru ini mengenai kejayaan Sabah menghapuskan kemiskinan tegar pada Julai lalu.

Wong mempersoalkan masa dan keikhlasan kenyataan Hajiji itu, mencadangkan bahawa ia bermotifkan politik berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.

“Adakah ini gurauan? Hajiji sedang melukis gambar yang cerah ketika kita menghampiri pilihan raya tetapi realiti di lapangan menceritakan kisah yang berbeza,” katanya.

Beliau turut mencabar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) untuk menyediakan laporan komprehensif yang memperincikan keadaan ekonomi semasa di Sabah.

Katanya, kerajaan perlu mendedahkan data tulen mengenai kadar pengangguran, kadar kemiskinan dan kadar inflasi, bukan menyebarkan pujian menerusi artikel berita.

“Jika keadaan ekonomi di Sabah baik seperti yang didakwa, mengapa rakyat kita masih menderita? Mengapa harga barang masih melangit? Jelas sekali inisiatif dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan GRS -PH tidak cukup untuk menangani isu teras.

“Rakyat Sabah jangan terpedaya dengan gambaran optimistik daripada kerajaan negeri GRS-PH. Kita perlu berhati-hati terhadap tabiat GRS-PH melukis gambar yang cerah tanpa menyandarkan dengan data yang kukuh.

“Ketelusan penuh dan statistik terperinci adalah satu-satunya cara untuk orang ramai benar-benar memahami keberkesanan dasar yang dilaksanakan dan didakwa sebagai kejayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Junz menegaskan komitmen Warisan untuk menangani cabaran ekonomi di Sabah dengan menumpukan sektor industri Sabah.

Jelasnya, Warisan juga komited dalan usaha mengekal dan menggunakan sumber asli untuk nilai tambah hiliran bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan dengan cara ekonomi yang paling mampan.

“Kami akan melaksanakan dasar berpaksikan rakyat yang memberi kesan kepada semua rakyat Sabah, memastikan tiada dasar berat sebelah diguna pakai.

“Selain itu, dengan mengindustrikan negeri ini, Sabah boleh menjadi pengeksport yang kukuh di rantau ini, meningkatkan peranannya di peringkat antarabangsa,” katanya. – Info X