KOTA KINABALU: Misteri bau busuk dari bilik sewa di sebuah premis tingkat dua di Jalan Lorong Haji Yacoob, Kampung Air, di sini terungkai selepas mayat seorang lelaki ditemui, malam tadi.
Mayat lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu ditemui dalam keadaan membengkak dan berbau di atas tilam bilik sewanya, kira-kira jam 9 malam.
Difahamkan, penghuni bilik sewa lain di premis berkenaan curiga dengan bau busuk dan mengalir cecair dari bilik berkenaan sejak petang.

Penghuni kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pemilik premis sebelum membuka pintu bilik dan menemui mayat lelaki dalam keadaan terbaring di tilam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan mendapati mangsa adalah pekerja di sebuah restoran yang terletak di tingkat bawah bilik sewanya.
Katanya, penemuan mayat lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X