KOTA KINABALU: Bau kurang menyenangkan yang dihidu penghuni sebuah bilik sewa di Sadong Jaya, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam bilik yang berkunci, malam tadi.
Mangsa berusia 31 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas pasukan bomba memecahkan sebahagian dinding bilik sebelum berjaya membuka pintu yang berkunci bagi mendapatkan akses masuk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu bilik yang berkunci pada jam 9.25 malam.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat seorang lelaki berada di dalam bilik yang berkunci dan tidak memberikan sebarang tindak balas, selain penghuni premis menghidu bau kurang menyenangkan dari bilik berkenaan.
“Bagi mendapatkan akses masuk, anggota bomba bertindak memecahkan sebahagian dinding sebelum berjaya membuka pintu bilik yang berkunci,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.50 malam.
“Kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – Info X