Search

Mohd Arifin dilantik Profesor Adjung UIS

February 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Islam Selangor (UIS), sekali gus memperkukuh hubungan keilmuan dan dakwah antara Sabah dan Semenanjung.

Pelantikan itu disempurnakan menerusi Majlis Serahan Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, bertempat di Pejabat Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), di sini, hari ini.

Mohd Arifin berkata, pelantikan berkenaan diharap dapat menjadi jambatan penghubung antara Sabah dan Semenanjung, khususnya Selangor, dalam memperkukuh ukhuwah, dakwah serta keilmuan Islam.

Mohd Arifin menerima Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, di KKTP, Kota Kinabalu.

“Kerjasama strategik ini penting bagi memperkasakan bidang pendidikan dan keilmuan Islam serta dakwah.

“Usaha ini turut memberi penekanan kepada kesinambungan kemasukan anak-anak Sabah ke Universiti Islam Selangor yang telah berlangsung sejak sekian lama,” katanya.

Menurutnya, hubungan erat antara institusi pendidikan Islam dan kepimpinan negeri mampu memberi manfaat besar dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing.

Mohd Arifin menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS Selangor di pejabatnya di KKTP, Kota Kinabalu.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Canselor UIS Selangor yang turut membincangkan hala tuju serta bentuk kerjasama berterusan dalam memperkasa pembangunan pendidikan Islam dan dakwah di peringkat nasional. – Info X