KOTA KINABALU: Individu yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, tampil menjelaskan perkara berkenaan.
Dalam kenyataan media malam ini, beliau memaklumkan sudah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kes itu.
Beliau memaklumkan tindakan itu diambil sejurus menerima maklumat mengenai hebahan pencarian terhadap dirinya yang tular di media sejak petang tadi.
“Hasil perbualan dengan pegawai SPRM, perkara berkenaan hanya melibatkan keperluan kehadirannya ke mahkamah bagi prosiding yang dijadualkan pada minggu hadapan.
“Saya sebagai warganegara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang diperlukan,” katanya.
Beliau dalam masa sama meminta semua pihak, termasuk pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga boleh menimbulkan salah faham dan prejudis.
Terdahulu, SPRM mengesan Mohd Saifullah bagi membantu siasatan kes, sekali gus menarik perhatian ramai selepas maklumat itu tular di pelbagai platform media sosial sejak petang tadi. – Info X