RANAU: Seorang lelaki yang cedera di kepala selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki tempatan terbabit dilaporkan cedera di kepala selepas terjatuh di kilometer 7.8 di gunung terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.03 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 20 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta malim gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan ke Robinson Strecher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.15 petang. – Info X