Search

MOSAR selamatkan pendaki wanita cedera

March 20, 2023

admin

RANAU: Seorang pendaki wanita terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan buku lali akibat terseliuh dalam kejadian di Kilometer 5.6 Gunung Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, wanita berusia 27 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan ketika menuruni gunung berkenaan dan terpaksa diusung pasukan MOSAR ke Timpohon Gate.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.17 pagi.

Katanya pasukan MOSAR kemudian bergegas ke lokasi mangsa dikatakan terseliuh untuk memberi rawatan awal dengan membalut kaki kakinya yang cedera.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robinson Strecher dan kemudian diserahkan kepada pihak ambulan KKM (Kementerian Kesihatan) untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi kemudian tamat pada jam 3.25 petang tadi,” katanya. – Info X