Search

Motosikal ‘Siti Nabilah’ disaman polis

March 23, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Tulis nama ‘Siti Nabilah’ pada nombor pendaftaran motosikal. Itu antara kesalahan yang dikesan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan (Motosikal) di beberapa lokasi di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Semua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

“Selain itu, operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut membuat ujian bunyi bising terhadap 17 motosikal.

“Daripada jumlah itu, 14 notis arahan dibawah Seksyen 48, AKAS 1974 (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota JAS membuat ujian bunyi bising terhadap sebuah motosikal dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Sandakan.

Menurutnya lagi, sebanyak sembilan disyor kompaun mengikut Peraturan 4(2), Akta Kuala Alam Sekeliling 1974 (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

Terdahulu, operasi itu membabitkan seramai dua pegawai kanan, 10 anggota BSPT IPD Sandakan serta 10 anggota penguatkuasa JAS. – Info X