KOTA KINABALU: Persefahaman yang akan dimeterai di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mampu mengurangkan kebuntuan pengundi Kadazandusun Murut dan Rungus (KDMR) dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Pandangan itu dikongsikan pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung yang turut melihat langkah kedua-dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu sebagai satu usaha yang dapat mengukuhkan kedudukan masing-masing.
Katanya, walaupun kedua-dua parti mempunyai ideologi yang berbeza, ia tidak menjadi masalah kepada pemimpin dan ahli masing-masing untuk saling menyokong antara satu sama lain kerana mereka masih boleh duduk semeja, termasuk di peringkat komuniti.
“Persefahaman di antara kedua-dua parti komponen GRS tersebut membantu mengurangkan dan menyelesaikan kebuntuan pengundi KDMR siapakah yang harus mereka pilih.
“Kedua-dua parti berkenaan mempunyai penyokong tegar dan akar umbi masing-masing. Jadi bila digabungkan sudah pastinya lebih kukuh.
“Kita sedia maklum di peringkat komuniti meskipun ideologi politik mereka berbeza, mereka masih boleh duduk satu kedai kopi minum makan bersama dan begitu juga dengan ada keluarga yang adik-beradik atau ibu bapa menjadi ahli parti politik berlainan tetapi mereka hidup aman dan bahagia di bawah satu bumbung rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan memorandum persefahaman (MoU) yang akan dimeterai PBS dan STAR pada Khamis ini, khususnya sokongan masyarakat Kadazandusun Murut terhadap kedua-dua parti dan GRS pada PRN17.
Mengenai keberkesanan MoU itu untuk mengatasi masalah ‘kerusi’ pada PRN17 nanti, Kuok Tiung yang juga penganalisis politik Sabah dan Sarawak, berkata beliau percaya tujuan utama persefahaman dan kerjasama yang akan dimeterai itu adalah usaha untuk menyelesaikan masalah itu.
“Saya percaya objektif utama MoU tersebut adalah untuk mengelak perebutan mahupun pertindihan kerusi di antara kedua-dua parti komponen (GRS) berkenaan.
“Mereka memulakan inisiatif rundingan terlebih awal sebelum tiba rundingan di peringkat GRS untuk pengagihan kerusi sesama komponen GRS. Penyelesaian terbabit sudah pastinya mempermudahkan urusan rundingan di peringkat tertinggi GRS kelak,” katanya.
Beliau juga berpendapat, kombinasi PBS dan STAR memberi kelebihan kepada kedua-dua parti berkenaan kerana dilihat sebagai satu entiti politik yang lebih besar dan kuat berbanding parti politik berasaskan Kadazandusun dan Murut yang lain.
MoU kerjasama PBS dan STAR dijadual ditandatangani pemimpin tertinggi kedua-dua parti dengan disaksikan Huguan Siou yang juga pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA Penampang pada jam 2.30 petang, 18 April ini. – Info X