SEMPORNA: Deretan tiga lot kedai dua tingkat termasuk sebuah premis MR DIY di Jalan Seri Melor, Tinagayan, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Kejadian itu menyebabkan premis MR DIY musnah hampir 90 peratus, manakala sebuah klinik pergigian di tingkat atas turut terbakar 50 peratus.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.53 petang, sebelum dua jentera bersama 28 anggota ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman sukar dilakukan kerana tekanan air pili bomba rendah.
“Bagaimanapun, dengan bantuan lori tangki Jabatan Air Sabah serta sumber terbuka, api berjaya dikawal pada jam 8.19 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan Balai Bomba Air Semporna dengan kekuatan 15 anggota serta enam anggota dari BBP Kunak.
“Agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Sabah Electricity, Jabatan Air Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga dikerahkan ke lokasi.
“Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan siasatan lanjut mengenai punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dijalankan,” katanya. – Info X