KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu bakal dinamakan semula sebagai MRSM Tun Musa Aman.
Perkembangan itu dinyatakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Isnin.
Katanya, tarikh pemasyhuran nama baharu itu akan diumumkan selepas mendapat persetujuan rasmi daripada Tun Musa.
“Kunjungan hormat pada hari ini adalah untuk menyampaikan hasrat kami secara rasmi bagi mendapatkan persetujuan Tun Musa, setelah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mengisytiharkan untuk menamakan dan memasyhurkan MRSM Kota Kinabalu dengan nama Tun Musa Aman.
“Kunjungan ini juga adalah bagi mendapatkan persetujuan daripada Tun Musa supaya pemasyhuran itu dapat disegerakan.

“Alhamdulillah, Tun Musa amat berbesar hati menerimanya dengan penuh rasa penghargaan dan pemasyhuran dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, nama rasmi baharu MRSM itu akan dimaklumkan oleh pejabat Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam masa terdekat.
MRSM Kota Kinabalu yang terletak di Kinarut, Papar adalah MRSM pertama di Sabah dan dibuka sejak April 2002. – Info X