Search

MUIS bantu SME Sabah dapatkan sijil halal

August 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) di negeri ini bagi mendapatkan persijilan halal sejajar perkembangan industri halal.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin, berkata usaha itu yang dilaksanakan melalui Hab Halal MUIS disasar kepada semua usahawan, khususnya yang tidak memiliki fasiliti pemprosesan atau kilang kekal.

Jelasnya, menerusi inisiatif itu, Hab Halal MUIS akan membantu SME mendapatkan Sijil Halal Industri Kotej (SHIK) bagi memastikan produk mereka mendapat pengiktirafan halal.

“Sehubungan itu, MUIS menggalakkan usahawan SME di Sabah untuk memanfaatkan peluang ini bagi mendapatkan Persijilan Halal Malaysia.

“Dengan adanya sijil ini, ia sudah tentu membantu usahawan SME mengembangkan lagi perniagaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Halal Antarabangsa 2024 (IHS2024), di sini, hari ini.

Simposium anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dihadiri kira-kira 200 pelajar dan pakar industri halal dari pelbagai negara.

Yang turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri selaku wakil Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Yahya ketika berucap merasmikan Simposium Halal Antarabangsa 2024 anjuran UMS di Kota Kinabalu.

Yahya berkata, Sabah mempunyai potensi industri halal yang besar sejajar kedudukannya sebagai destinasi utama pelancong, selain adanya sektor pertanian yang besar.

Mengulas lanjut mengenai usaha dilaksanakan Hab Halal MUIS berkaitan persijilan halal, Yahya berkata penubuhan badan berkenaan disasar untuk meningkatkan lagi jumlah syarikat dan usahawan di Sabah yang memiliki sijil berkenaan daripada kira-kira 350 yang ada ketika ini.

Katanya, Hab Halal MUIS akan membantu syarikat dan ushawan, termasuk bukan Islam untuk mendapatkan persijilan halal dengan pematuhan syarat yang ditetapkan.

“Persijilan halal ini bukan hanya berkisar mengenai mematuhi syariat Islam tetapi juga melangkaui semua aspek penyediaan produk termasuk kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali yang juga Pengerusi Pengesahan Sijil Halal Malaysia Sabah, berkata inisiatif dilakukan MUIS itu bertujuan memberi kefahaman kepada pemain industri bahawa memiliki sijil halal bukan satu perkara yang sulit atau mustahil.

Katanya, Hab Halal MUIS akan membantu usahawan untuk mendapatkan persijilan itu dan memastikan prosesnya dipercepatkan bagi mengelak pemohon patah semangat mendapatkan sijil halal.

“Jadi, di MUIS, setiap dua minggu sekali kita akan melaksanakan perakuan, kelulusan untuk mana-mana usahawan atau syarikat yang sudah diaudit untuk kita berikan persijilan halal, sama ada yang baharu ataupun pembaharuan sijil sedia ada,” katanya.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya yang dibacakan Coswald, berkata UMS komited untuk bertukar pengetahuan, mengadakan perbincangan dan rangkaian kerjasama berkaitan pembangunan industri halal, khususnya di Sabah. – Info X