Search
Search
Close this search box.

Mulakan dengan gerai, warung yang bersih – PM

December 7, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memberi penekanan kepada pembangunan kota bermula dengan gerai dan warung yang bersih serta indah.

Beliau berkata, penekanan itu sejajar dengan populariti warung dan gerai sebagai lokasi utama yang menjadi tumpuan orang ramai berbanding restoran atau hotel yang ada di sesuatu kawasan.

Katanya, kemudahan untuk golongan penjaja dan peniaga kecil itu perlu didahulukan sebelum melaksanakan projek pembangunan besar di kawasan PBT masing-masing.

“Penekanan untuk membangunkan kota perlu bermula dari gerai dan warung terlebuh dahulu.

Pastikan gerai dan warung diurus dengan baik, barulah fikir hal besar yang lain,” katanya ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square, Donggongon, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, Kerajaan Madani pimpinannya juga memberi keutamaan kepada pengekalan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi menjadikan ibu negara sebagai kota warisan.

Katanya, projek raksaksa yang dilaksanakan di ibu negara dan bandar lain di semua negeri tidak seharusnya menjejaskan nilai sejarahnya, sebaliknya pelan pembangunan perlu dirangka dengan baik untuk keselesaan hidup rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju supaya peruntukan RM20 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2024 untuk projek Tamu Desa bagi penyediaan dan penaiktarafan kemudahan gerai keusahawanan yang disediakan dalam Belanjawan 2024 diberikan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Katanya, RM1 juta daripada peruntukan itu diberikan kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil untuk membiayai pengurusan persatuan berkenaan.

Terdahulu, Ewon meminta agar KUSKOP diberi tanggungjawab melaksanakan peruntukan itu selain berharap agar peruntukan yang sama disediakan kepada kementerian itu dalam belanjawan setiap tahun.

Katanya, penyaluran peruntukan itu bagi membolehkan KUSKOP membantu melengkapkan harapan dan impian komuniti penjaja serta peniaga kecil yang memerlukan pinjaman modal kredit dan kemudahan gerai daripada kementeriannya.

Beliau berkata, pada tahun ini juga, KUSKOP memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil, Pelan Pemformalan Usahawan Informal dan Garis Panduan Perniagaan Daripada Rumah sebagai antara inisiatif membangunkan daya saing komuniti penjaja dan peniaga kecil.

“Selain itu, KUSKOP juga mengaktifkan semula Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan sebagai platform libat urus di antara kerajaan dengan komuniti ini (penjaja dan peniaga kecil),” katanya. – Info X