Search

Mulut ditekup, wanita nyaris disamun ketika tidur

July 10, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita menempuh saat mencemaskan apabila mulutnya ditekup lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke bilik sewanya ketika dia sedang tidur, di sebuah rumah sewa sekitar bandar ini, Ahad lalu.

Ketika kejadian, suspek berusia 20 tahun dipercayai menyelinap masuk ke bilik mangsa sebelum menekup mulutnya dalam cubaan untuk menyamun.

Mangsa berusia 25 tahun yang terkejut dengan kejadian itu menjerit sekuat hati dan menepis tangan suspek sebelum berjaya menolak pintu hingga lelaki terbabit tercampak keluar dari bilik.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, walaupun suspek berjaya ditolak keluar, dia masih berdiri di luar rumah tanpa beredar menyebabkan mangsa dan penyewa lain terpaksa bersembunyi kerana ketakutan.

“Hasil siasatan awal mendapati, tiada barang berharga yang hilang, namun tindakan pantas mangsa menyelamatkan diri telah berjaya menggagalkan niat suspek.

“Susulan laporan yang dibuat, sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 20 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah homestay, kira-kira jam 10.15 malam semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah topi, beg silang dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada dia terbabit dalam kes lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan.

Sementara itu, beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang sama.

“Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X