KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mengumumkan pimpinan baharu gabungan itu yang kini diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Pelantikan beliau dan beberapa jawatan lain dalam gabungan itu susulan tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meninggalkan gabungan berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada November lalu.
Mengumumkan perkara itu ketika mesyuarat PH Sabah pada Ahad, Mustapha berkata rombakan itu dibuat bagi mengisi jawatan yang kosong, selain sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Kita baru bermesyuarat PH Sabah dan yang hadir komponen parti, DAP, PKR dan AMANAH. Setelah berbincang kita putuskan untuk mengisi beberapa jawatan yang kosong selepas UPKO keluar PH.
“Mesyuarat bersetuju melantik saya sebagai Pengerusi PH Sabah; Setiausaha Agung, Abdul Razak Jamil dan Ketua Pemuda, Zaidi Jatil dan kita kekalkan Ketua Wanita, Datuk Jannie Lasimbang, manakapa Timbalan Pengerusi kekal dipegang ketua parti komponen,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.
Mustapha yang juga Ketua PKR Sabah, mengakui struktur baharu PH Sabah itu adalah antara persiapan bagi menghadapi PRU16.
“Ya, itulah objektifnya, kita bincang apa berlaku pada PRN lalu, itulah sebabkan kita rombak, susun semula untuk kita berdepan PRU akan datang,” katanya. – Info X