PAPAR: Kemalangan maut membabitkan dua kereta di Kilometer 35 Jalan Kimanis – Keningau, di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada sebuah Proton Saga yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, pemandu Perodua Axia berusia 61 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala seorang penumpang wanita berusia 52 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Papar.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga berkenaan bertembung secara hadapan dengan Perodua Axia dari arah bertentangan.
“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua pemandu maut di tempat kejadian.
“Siasatan lanjut turut mendedahkan terdapat elemen ketidakpatuhan undang-undang jalan raya, termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah selain kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Heryan berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta lebih berhati-hati terutama ketika melalui laluan berisiko seperti Jalan Kimanis – Keningau yang mencabar.
“Pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, selain memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya.
Dalam pada itu, Polis Daerah Papar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit kemalangan dan berharap supaya mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini. – Info X